Pengalaman mewah dalam dunia permata eksklusif

MEER bersama sebahagian daripada koleksi barangan kemas HABIB.

Sejak dulu lagi batuan permata menjadi simbol kemewahan, status dan keindahan yang melangkaui zaman.

Terbentuk jauh dalam perut bumi melalui proses geologi yang mengambil masa jutaan tahun, setiap permata menyimpan kisah tersendiri yang menjadikannya begitu bernilai dan didambakan.

Daripada kilauan abadi berlian yang digelar 'raja segala permata', zamrud yang terkenal dengan keindahan hijau semula jadinya, nilam yang melambangkan keanggunan dan ketahanan hingga pesona merah menyala delima yang sinonim dengan semangat dan kekuatan, setiap batu permata memiliki karakter unik tersendiri.

Keindahan semula jadi ini turut diserikan dengan warna luar biasa seperti biru ungu memukau pada permata 'Tanzanite' yang hanya ditemui di Tanzania serta kilauan neon biru kehijauan menakjubkan pada 'ParaÌba Tourmaline', antara permata paling jarang dan mahal di pasaran global.

Namun, masih ramai yang tidak mengetahui bahawa keistimewaan batuan permata bukan sahaja terletak pada kecantikan fizikalnya, malah turut dipengaruhi faktor seperti kelangkaan, kejernihan, warna, saiz dan sejarah yang mengiringinya.

Ini kerana, ada permata yang terbentuk hanya di kawasan tertentu di dunia, menjadikannya lebih eksklusif serta rebutan peminat, pengumpul dan pelabur antarabangsa.

Malah, sesetengah batu permata berkualiti tinggi kini lebih sukar ditemui berbanding berlian, sekali gus meningkatkan nilai dan eksklusivitinya daripada tahun ke tahun.

Bagi pencinta barang kemas, setiap permata adalah karya seni alam yang tidak dapat diulang.

Setiap potongan dan pancaran cahaya yang terhasil menggambarkan gabungan sempurna antara keajaiban alam semula jadi dan ketelitian hasil tangan manusia.

Tidak hairan batuan permata terus menjadi lambang keanggunan, kemewahan dan warisan yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

HABIB, jenama barangan kemas terkemuka Malaysia kini mengadakan Pesta Barangan Permata HABIB 2026 sehingga 30 Jun ini bagi meraikan keindahan batu permata, seni pertukangan dan koleksi barangan kemas yang direka untuk memberi inspirasi serta meningkatkan penghargaan terhadap keindahan serta kemewahan permata.

Diadakan di HABIB Landmark yang baru dilancarkan di Jalan Bunus, Kuala Lumpur, acara itu memberi peluang peminat barangan kemas menyelami keindahan dunia permata dan barangan kemas dalam suasana eksklusif.

Ruangan pameran diubah menjadi destinasi mewah berbilang aras yang menawarkan pengalaman interaktif menarik.

Ia bagi membolehkan pengunjung meneroka batu permata yang jarang ditemui, menyaksikan seni pertukangan barangan kemas secara dekat serta memahami perjalanan luar biasa daripada batu permata semula jadi kepada hasil karya perhiasan yang bernilai tinggi.

Menggabungkan elemen pendidikan, penceritaan dan pengalaman mewah, Pesta Barangan Permata HABIB 2026 menawarkan peluang unik kepada orang ramai untuk mendekati dunia barang kemas halus menerusi pengalaman interaktif yang dikendalikan oleh pakar industri.

BIRU ungu memukau pada permata Tanzanite yang hanya ditemui di Tanzania.

Menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB Datuk Sri Meer Habib, ramai mengenali berlian, namun tidak ramai yang menyedari kepelbagaian, keunikan dan keindahan luar biasa yang ada pada batu permata berwarna lain.

Kata Meer, menerusi penganjuran Pesta Barangan Permata HABIB 2026, pihaknya berharap dapat memperkenalkan orang ramai kepada dunia batu permata yang penuh pesona.

"Selain itu, ia juga dapat mengetengahkan kepakaran dan kreativiti yang mengangkat khazanah alam semula jadi ini menjadi koleksi barangan kemas eksklusif yang istimewa.

"Pesta Barangan Permata HABIB 2026 menampilkan pengalaman yang menyeluruh, berteraskan tiga tunjang utama iaitu Batu Permata, Berlian dan Barangan Kemas Eksklusif bagi membawa pengunjung lebih dekat dengan keindahan serta keunikan setiap koleksi," katanya pada majlis perasmian berkenaan, baru-baru ini.

Meer berkata, sebagai jenama barangan kemas terkemuka di Malaysia, HABIB menawarkan pelbagai pilihan batu permata berharga yang dipilih dengan teliti berdasarkan keindahan, kelangkaan dan kualitinya yang luar biasa.

Selain berlian, koleksi batu permata jenama itu juga meraikan kepelbagaian alam semula jadi menerusi himpunan batu permata berwarna yang membolehkan pelanggan mengekspresikan identiti dan personaliti mereka melalui pelbagai rekaan unik serta bermakna.

Sementara itu, menerusi sesi penceritaan yang dikendalikan oleh pakar serta paparan interaktif, pengunjung dapat menghargai dengan lebih mendalam kepelbagaian luar biasa yang terdapat dalam khazanah alam semula jadi berkenaan.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran batu permata secara individu bersama rekaan barangan kemas yang sudah siap, memahami dengan lebih mendalam mengenai warna, karakter dan nilai bagaimana keindahan semula jadi mempengaruhi rekaan akhir sesuatu rekaan barang kemas.

Di Phenomena Room pula, ia menampilkan fenomena optik batu permata yang jarang ditemui, termasuk sinaran lembut 'Moonstone', jaluran cahaya bergerak pada 'Cat's Eye', pantulan berbentuk bintang pada 'Star Ruby' dan 'Star Sapphire' serta keunikan 'Colour Change Sapphire' yang berubah warna mengikut pencahayaan.

Di Diamond Lab pula, ia memberi peluang kepada pengunjung mempelajari asas pemilihan berlian melalui konsep 4C yang diiktiraf di peringkat antarabangsa iaitu 'Carat', 'Colour', 'Clarity' dan 'Cut'.

Selain itu, pengunjung turut berpeluang mempelajari mengenai pensijilan GIA, ketepatan 'Hearts & Arrows', berlian semula jadi serta faktor-faktor penting yang perlu dipertimbangkan ketika memilih berlian menerusi demonstrasi dan sesi perkongsian interaktif.

Lebih istimewa, melalui 'Artisan's Corner', pengunjung juga dapat melihat secara lebih dekat proses penghasilan barangan kemas, bermula daripada lakaran tangan, ukiran lilin, proses pemasangan batu permata sehingga kepada kerja kemasan akhir.

Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap pendidikan pengguna, Pesta Barangan Permata HABIB 2026 menampilkan pelbagai pengalaman pembelajaran dikendalikan oleh pakar industri bagi membantu pelanggan memperoleh pengetahuan dan keyakinan dalam membuat keputusan yang lebih bermaklumat.

Dengan menggabungkan elemen pendidikan dan pengalaman imersif, acara itu dilihat dapat memperkukuhkan penghargaan terhadap keindahan serta kelangkaan batu permata.

 

Sumber: Harian Metro