
Meer Sadik berkata, Masjid Habib direka dengan konsep yang mengutamakan keselesaan dan kemudahan persekitaran, dengan reka bentuk menitikberatkan kemudahan serta mesra pengguna, khususnya untuk warga emas, wanita dan kanak-kanak, malah keutamaan diberikan kepada aspek fungsi dan keselesaan tanpa hiasan berlebihan.
Selain itu, katanya, sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang menjadi antara penyokong utama jenama Habib, perhatian turut diberikan di ruang persalinan wanita yang direka dengan selesa, praktikal dan terjaga.
"Selaras dengan latar belakang keluarga dalam industri barangan kemas, reka bentuk kubah masjid itu diinspirasikan daripada potongan intan yang unik sebagai penghormatan kepada budaya pemakaian barangan kemas.
"Rekaan dan hiasan dalaman masjid ini pula menerapkan unsur seni Jawi Peranakan Pulau Pinang, yang dihasilkan melalui proses penyelidikan dan pemerhatian yang teliti," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, tapak Masjid Habib mempunyai latar belakang sejarah yang unik kerana tanah seluas 8,878.8 meter persegi atau kira-kira 2.19 ekar itu adalah tanah serahan daripada pemaju Eastern & Oriental Berhad (E&O).
Ia sebagai sebahagian daripada syarat Pelan Kebenaran Merancang bagi pembangunan projek pulau buatan yang dinamakan sebagai Pulau Andaman.
Beliau berkata, tanah itu telah didaftarkan atas nama MAINPP pada 5 Mei 2004 sebagai Lot PT 702, Seksyen 1, Tanjung Tokong, khusus bagi tujuan pembinaan masjid.
Pada peringkat awal, kawasan ini hanyalah tanah lapang yang pernah digunakan sebagai tapak kontena pejabat pemaju serta kawasan perniagaan sementara yang dikenali sebagai Penang Downtown Tanjong Tokong.
"Inisiatif oleh Kumpulan Habib itu contoh terbaik bagaimana sektor korporat mampu memainkan peranan besar dalam pembangunan ummah dan bagi pihak Kerajaan Pulau Pinang, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Meer Sadik dan keluarga atas sumbangan yang amat bermakna ini," katanya.
Sebelum ini, Masjid Terapung Tanjong Bunga berfungsi sebagai Masjid Daerah Timur Laut, namun ia sedang menjalani proses pengubahsuaian dan fungsi Masjid Daerah Timur Laut dipindahkan ke Masjid Habib.
Sumber: Berita Harian









