Harga emas berpotensi cecah lebih RM700 segram hujung tahun ini

Harga emas yang kini berlegar pada paras RM600 segram dijangka kembali meningkat kepada RM750 hujung tahun ini.

Ahli ekonomi Prof. Datuk Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata konflik di Asia Barat, hala tuju kadar faedah Amerika Syarikat (AS) serta pembelian dalam kalangan bank pusat dunia akan mendorong kenaikan harga logam berharga itu.

Harga emas yang mencecah RM764 segram pada Januari 2026 menurun apabila kebanyakan negara dilaporkan menjual aset berkenaan untuk membeli minyak mentah.

Keadaan itu dijangka berubah apabila konflik di Asia Barat reda.

“Dari tahun 2001, saya memantau harga emas makin naik. Ketika itu, harga emas RM36 segram. Sekarang dah RM600 segram. Harga emas sudah tinggi. Tapi saya rasa logam ini akan naik lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi dialog bertajuk ‘Emas dalam persekitaran global yang tidak menentu’ anjuran Habib Jewels Sdn Bhd di sini, hari ini.

Dialog itu dikendalikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib.

Jelasnya, harga emas telah meningkat sebanyak 12 peratus setahun sejak 2001.

Meer Habib berkata harga emas melonjak 65 peratus tahun lalu dan 27 peratus pada tahun 2024 apabila bank pusat dunia melihat emas sebagai aset selamat berbanding dolar AS.

“Sebelum ini, ia telah naik hampir sampai RM700 segram. Jadi jangka masa yang panjang, kebanyakan daripada para penganalisis telah menjangka sebanyak RM750 segram tahun ini,” kata beliau.

Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS dilihat akan mempengaruhi harga emas dunia.

Jika AS menurunkan kadar faedahnya, penganalisis menjangka permintaan terhadap emas akan meningkat lagi.

 

Sumber: Buletin TV3