HABIB buka bilik pameran konsep baharu di IOI City Mall

Kumpulan HABIB mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri barang kemas tempatan dengan memperkenalkan bilik pameran HABIB serta butik Pandora terbaharu di IOI City Mall Putrajaya, sekali gus memperluas strategi peruncitan berasaskan pengalaman di pusat beli-belah mega utama negara.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Seri Meer Habib berkata, pihaknya menambah baik cawangan sedia ada dengan memperkenalkan konsep baharu yang lebih santai dan berfokuskan pengalaman pelanggan, sejajar dengan perubahan keperluan dan maklum balas pengguna.

Katanya, pelancaran bilik pameran HABIB dan Pandora berkonsep baharu itu menandakan fasa pertumbuhan kumpulan  dalam memperkaya penawaran kemewahan yang menekankan gabungan seni pertukangan, reka bentuk kontemporari dan perkhidmatan peribadi kepada pelanggan.

"Pendekatan ini menekankan peranan Kumpulan HABIB bukan sekadar sebagai jurujual, sebaliknya bertindak sebagai perunding yang memberi nasihat dan pengetahuan berkaitan barang kemas kepada pelanggan.

"Konsep ini diwujudkan supaya pelanggan lebih tenang tanpa tekanan ketika membuat pilihan dan mereka boleh berbincang, bertanya dan mendapatkan maklumat dalam suasana selesa, malah kami turut menyediakan ruang santai untuk pelanggan," katanya kepada Bisnes Metro selepas majlis pelancaran bilik pameran HABIB dan butik Pandora terbaharu di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IOI Corporation Berhad, Datuk Lee Yeow Chor bersama isterinya, Pengarah Eksekutif Yayasan IOI, Datin Joanne Wong.

Meer berkata, untuk terus menerajui landskap barang kemas Malaysia, pihaknya perlu mereka bentuk ruang yang mencetuskan emosi, hubungan dan penemuan.

Terletak di dalam salah satu pusat beli-belah yang paling kerap dikunjungi di negara ini, bilik pameran baharu itu meningkatkan penawaran mewah yang tersedia untuk pembeli yang mahukan kreativiti dan kemodenan.

"Konsep lebih santai dan eksklusif ini akan diperluaskan secara berperingkat ke cawangan lain bergantung kepada keperluan serta maklum balas pelanggan.

"Habib mempunyai 36 cawangan di seluruh negara, meliputi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, dengan pembukaan cawangan ke-37 di Perlis dijadualkan minggu ini, ia melengkapkan kehadiran kami di semua negeri," katanya.

Selain itu, beliau berkata, syarikat turut merancang membuka dua hingga tiga cawangan baharu tahun depan, bergantung kepada kesesuaian lokasi.

Mengulas peruntukan modal untuk menambahbaik konsep bilik pameran HABIB, beliau berkata pihaknya tidak menetapkan bajet khusus, sebaliknya memberi keutamaan kepada keperluan pelanggan.

"Pelanggan adalah paling penting. Jika maklum balas menunjukkan mereka mahukan kedai yang lebih selesa, kita akan buat penambahbaikan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata industri emas secara keseluruhan menunjukkan peningkatan selari dengan kenaikan harga emas, didorong keyakinan pelanggan yang melihat barang kemas bukan sahaja sebagai perhiasan, malah instrumen pelaburan.

"Permintaan meningkat kerana emas dilihat sebagai aset selamat, terutama apabila bank pusat dunia meningkatkan pembelian emas sebagai rizab," katanya.

 

Source: Harian Metro